Selasa, 9 September 2008

Tarekat tasauf mengajarkan manusia supaya membina kekuatan dalam berjihad menentang sifat nafsu ammarah dan membebaskan diri daripada ikatan rantainya. Kekuatan dalaman diperolehi dengan cara mengingati Allah s.w.t sebanyak mungkin. Pada peringkat permulaan ingatan kepada Allah s.w.t dilakukan dengan paksaan dan hanya berlaku secara luar sahaja tetapi dengan mengulangi nama-nama Tuhan, menyebutkannya kuat-kuat akan menambahkan kesedaran terhadap-Nya. Ingatan kepada Tuhan yang dilakukan secara berterusan akhirnya akan masuk ke dalam hati. Ketika itu ingatan kepada Tuhan dilakukan dalam hati, tidak perlu lagi menyebutnya kuat-kuat.
Tarekat tasauf menjurus sepenuhnya kepada usaha mendekatkan diri kepada Allah s.w.t, mengabdikan diri kepada-Nya sebaik mungkin dan mengenali-Nya sebagaimana layaknya. Pokok dari ajaran tarekat tasauf adalah penyucian hati. Syarat penyucian hati yang pertama adalah taubat secara zahir dan batin. Taubat zahir berkaitan dengan perkataan, perbuatan, perasaan, menghindarkan diri daripada melakukan dosa dan memperbanyakkan kebaikan. Taubat batin berkaitan dengan rohani, mengembalikan rohani kepada tahap kesuciannya yang asli.